Kenapa Nasha Aziz Suka Perempuan?
Oleh: Hamisma Hassan
Foto: Shamsudin Saleh

Nasha Aziz mengakui dia tiada masalah merealisasikan watak tomboy bernama Laila dalam filem terbarunya, Laila Isabella, arahan Rashid Sibir dan terbitan Tayangan Unggul.

Kata Nasha, masalah berat menjalankan tanggungjawb itu tidak timbul memandangakan dia banyak dikelilingi kawan seperti itu. Malahan, katanya juga, dia suka dikelilingi kawan perempuan.

Memang segelintir pihak akan tersentap membaca tajuk di atas dan lebih-lebih lagi, membaca kata-kata ikhlas model dan pelakon cantik itu bahawa dai lebih sukakan perempuan.

Apakah maksudnya berkata sedemikian? Tidak takutkah Nasha apabila kata-katanya itun nanti disalah anggap? Namun, Nasha mempunyai penjelasannya sendiri...

"Terus-terang, saya tiada masalah membawakan watak tomboy. Saya mempunyai ramai kawan sebegitu. Kelebihan meletakkan diri saya dalam apa jua situasi membuatkan saya banyak pengalaman dan idea.

"Tomboy saya dalam filem Laila Isabella ini ialah dari segi fizikalnya saja tetapi sebenarnya Laila seorang yang berjiwa perempuan. Dia suka lelaki dan mahu dicintai lelaki.

"Tetapi, dia tak tahu macam mana mahu memulakannya. Dia seorang yang pemalu. Meskipun luarannya lasak seperti lelaki, tetapi dia masih ada sikap keperempuanan. Cuma, dia tiada keyakinan diri.

"Kalau ditanya tentang diri saya, sebenarnya saya suka bersama kawan-kawan perempuan sejati sebab saya rasa gembira dan aman. Kita boleh bercakap tentang apa saja, pasal kecantikan, keamanan dan orang perempuan yakin apa yang dilakukan. Orang perempuan selalunya berfikir dua kali sebelum membuat keputusan.

"Saya juga ramai kawan lelaki, jangan salah anggap kata-kata saya ini. Saya tahu apa yang saya katakan dan lakukan. Saya akan pastikan itu baik kepada saya. Saya manusia normal... Sebagai manusia normal, saya berkawan dengan sesiapa saja, asalkan tidak merosakkan diri saya.

"Buat masa ini, saya belum boleh berkata apa-apa tentang soal cinta ataupun bila saya nak kahwin? Kalau ditakdirkan saya jatuh cinta dengan seorang lelaki, saya aka mencintai mentaliti lelaki itu terlebih dahulu.

"Cara lelaki itu berfikir yang akan membuatkan saya jatuh cinta kepadanya," kata Nasha ketika ditemui baru-baru ini.

Laila Isabella

Selepas mempamerkan lakonan berkesan sebagai antagonis bernama Suzana dalam filem Gerak Khas The Movie, Nasha yang agak menyepikan diri sejak kebelakangan ini memilih berlakon dalam Laila Isabella.

"Watak saya dalam Laila Isabella unik. Wataknya lebih menarik daripada watak-watak biasa yang pernah saya lakonkan dalam drama dan filem-filem sebelum ini. Inilah watak yang bakal memberikan perubahan dari segi lakonan saya. Saya perlu menjadi dua watak dalam filem ini iaitu sebagai Laila dan Isabella. Ia cukup mencabar.

"Lagipun, saya memilih filem ini kerana pengarahnya Rashid Sibir. Sejak saya berlakon dari tahun 1995, saya banyak berlakon di bawah arahan Rashid. Rashid adalah satu-satunya pengarah yang mampu mencungkil bakat saya. Dia banyak berikan kebebasan kepada saya menyumbangkan idea pada watak.

"Selalunya, setiap watak yang diberikan, tak kiralah dalam drama mahupun filem, saya akan kaji dan cuba bagi idea untuk imej dan penampilan. Contohnya, seperti yang saya buat untuk watak Suzana dalam Gerak Khas The Movie.

"Sudah tentu saya mahukan yang terbaik pada watak. Sebab itulah, untuk Laila Isaballa, saya buat perubahan dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Saya mahukan segalanya tentang diri saya berlainan untuk sesebuah produksi yang saya jayakan," ujar Nasha bersungguh-sungguh.